Thursday, June 24, 2004

Talkin buat Massa...

Terkuburnya majalah Massa

Thursday, June 24 @ 11:19:27 MYT (Harakahdaily)

Oleh Anual Bakhri Haron
TERKUBURNYA majalah Massa seperti yang diulas dalam bentuk rencana di Utusan Malaysia pada 17 Jun 2004 mengesahkan lagi perihal muaknya masyarakat pembaca terhadap sebarang usaha keterlaluan untuk memperbodohkan mereka.

Melalui Massa, khalayak seakan dihantar “hingga ke dapur” dan dipimpin untuk memilih pinggan yang mana dan siap disendukkan gulai dan nasinya.

Minda mereka diprogramkan menyerupai warta jam 8 atau rencana pengarang Utusan Malaysia. Ia hampir tidak dibenarkan langsung untuk beranalisis di luar dari lorong perdana semasa seperti yang dirintis oleh Awang Selamat. Inilah yang menjadikan Massa akhirnya “selamat dikebumikan”. Jika perlu dibuktikan unsur-unsur yang terlalu mengatur seperti yang dimaksudkan, ia boleh dilihat dalam petikan-petikan ini:

“Adalah haram jika ada lagi gerakan untuk menubuhkan negara Islam sedangkan negara ini sudah menjadi negara Islam. Pengisytiharan tidak semestinya dibuat oleh ulama kerana yang penting ia pemimpin tertinggi dan paling berpengaruh.” Massa 1 – 7 Mac 2003.

“Azalina memang layak untuk menjadi pelapis dalam perjuangan Umno. Beliau ada wawasan, bertenaga serta pintar.” Massa 13 – 19 Mac 2004.

“Dato' Dr Mashitah Ibrahim bukan ahli politik. Kepimpinan dilihat memilih beliau sebagai calon berdasarkan populariti dirinya.” Massa 13 – 19 Mac 2004.

“Kalau betul Dato' Dr Abdul Monir Yaakob ini bertanding dalam pilihan raya, ini adalah satu titik perubahan kepada Umno.” Massa 13 - 19 Mac 2004.

“Kita akan rugi jika Dato' Seri Nazri Aziz ini tidak lagi diberi peluang memimpin.” Massa 13 - 19 Mac 2004.

“Keadaan negeri sendiri yang teruk, memaksa beribu-ribu anak Kelantan berhijrah ke negeri lain. Anak-anak Kelantan di perantauan berjumlah lebih 750,000.” Massa 14 - 20 Februari 2004.

Dari enam petikan berkenaan, tidak syak lagi yang Massa adalah Umno dan begitulah sebaliknya. Massa adalah burung kakak tua. Dengan keadaan ini, orang Melayu rata-ratanya merasakan membazir masa dan wang untuk membeli informasi yang basi. Ia cuma siaran ulang tayang yang dipindahkan dari visual skrin TV kepada kertas bercetak yang bergambar.

Apa perlunya mereka membeli untuk sekadar mengunyah berita basi yang penuh propaganda. Mungkin mereka lebih menghargai dua balang tong gas yang boleh menghidupkan api di dapur selama dua bulan dari terus membelek-belek hikayat selorong yang tidak pernah mencabar minda.

Percubaan Puan Maria Abdullah menyamakan Massa dengan FEER atau Majalah Time (Utusan Malaysa 17 Jun 2004) saya anggap sedikit keterlaluan. Lihatlah sikap profesional kedua-dua majalah antarabangsa itu dalam menyoroti berita. Mereka mengupas setelah melapor.

Massa dalam banyak hal lebih gemar menyogok dan mengatur. Khalayak jarang sekali diajak berfikir, diajar cara berfikir dan membuat kesimpulan sendiri. Mereka seakan-akan diatur apa yang patut difikir. Mereka tidak diajar “how to think but what to think.” Ini yang ramai naik meluat, menyampah dan loya. Kalau pun perlu membanding, bandinglah dengan mutu Majalah Dewan Masyarakat atau Dewan Sastera.

Membudayakan tabiat membaca di kalangan intelektual Melayu perlu cermat. Orang Melayu sudah ada ”taste”. Mereka selektif. Kita bukan lagi orang Melayu di awal tahun 1900 di mana apa sahaja yang boleh mengenyangkan perut terus disumbat.

Orang kini lebih melihat unsur khasiat dan perimbangan dalam diet. Khasiat ialah bahan yang tidak nampak tetapi ia tetap ada seperti juga dengan roh. Oleh kerana manusia itu mengandungi jisim dan roh maka makanan roh turut wajib dihidangkan dalam penulisan.

Massa nampaknya langsung tidak mengiktiraf roh berunsur kebenaran, fakta dan keadilan dalam menyediakan ramuannya. Ia cuma berkiblatkan pemerintah dan membebel bagi pihak pemerintah. Bukan asal sahaja bahan bacaan, ia terus akan dikunyah dan boleh mengasah minda.

Datuk Zam menyalahkan sikap orang melayu yang tak minat membaca, menyebabkan terkuburnya Massa.Tapi artikel diatas, bagi saya ada kebenarannya...orang melayu dah ramai yg cerdik lagi pandai..
dah baligh pun.

No comments: